✿ Jika kita sandarkan segala yang telah berlaku itu adalah dari Allah SWT, nescaya hati kita akan merasa senang dan tenang. Sesungguhnya tidaklah Allah jadikan sesuatu itu sia-sia melainkan kebaikan semata-mata. ✿
Entah kenapa idea sudah tidak mahu lagi singgah di ruang fikir. Fikiran buntu tak menentu. Mungkin kerana sering sandarkan diri kepada diri sendiri. Tanpa jauh melihat daripada mana sesuatu masalah itu datang dan kepada siapa yang harus kita mengadu. Di mana pergi sistem kepercayaan yang selama ini kita pegang dalam konsep kerangka manusia. Lalu persoalan timbul... Di mana Allah di hati kita?
Tahap kesedaran terhadap sesuatu itu tidak lagi menjadi topik utama. Hanya perasaan yang memainkan peranan utama. Itulah kesalahan dalam menilai sesuatu. Apabila kadar kebergantungan kita saat menghadapi sesuatu ujian itu, tidak kepada yang menciptakan ujian maka kita tidak akan jumpa jalan penyelesaiannya.
Kerana aku seperti bola.
Bola... Boleh disepak ke sana ke mari ikut sesuka hati. Saat diperlukan ditatang dan dijulang. Bila hendak digunakan untuk kepentingan diri orang. Disepak-sepak sesuka hati dalam memenuhi tujuan-tujuan tertentu. Sesudah itu diagungkan kembali, diberi pujian dan perhatian. Ia memperlihatkan kejadian yang sama berulang kali. Berulang kali.
Digunakan dan Dipergunakan
Sudah tentu ada perbezaan antara digunakan dan dipergunakan. Ayatnya sudah berbeza. Manusia mestilah digunakan sesuai dengan tujuan ia diciptakan pencipta. Sebagai hamba yang wajib mentaati dan mengikuti perintah dan seruan. Hidupnya kita atas pelbagai tujuan di atas nama yang satu iaitu khalifah. Kita diberikan pelbagai anugerah untuk melaksanakannya. Anugerah atas tujuan.
Namun, pemberian yang dikurniakan untuk mencapai tujuan seringkali tergendala. Dek kerana rapuhnya kesedaran di atas tujuan penciptaan. Sering tersasar daripada jalan yang sebenarnya lurus. Mungkin rapuh dek kerana pincangnya methodologi yang kita pilih untuk melalui jalan tersebut. Oleh itu, tubuh dan segala anugerah yang kita ada mestilah digunakan atas tujuan kebaikan. Selaras dengan itu, methodologi mestilah selari dengan tujuan yang satu.
Jangan berhenti berharap
Manusia memang fitrahnya dicipta dengan rasa. Rasa itu mewarnai dunia mereka. Manis, masam, masin, pahit menjadi rencana utama trankripsi kehidupan. Fitrah itu umpama adunan doh, cara fikir dan cara tindak adalah acuan. Ya, acuan yang kita sendiri membinanya atas pengalaman dan ilmu yang kita ada. Adunan doh akan tetap sama, yang berbeza hanyalah bagaimana manusia membina cara fikir dan tindak. Ia membentuk acuan kehidupan atas dasar apa yang kita pilih.
Jangan pernah berhenti berharap dan berusaha. Orang yang berhenti berharap dan berusaha ialah orang yang mempunyai masalah dari sudut keyakinannya kepada Allah SWT. Ditimpa sahaja sedikit musibah, mukanya mencuka dan dijaja seluruh alam buana (facebook dan twitter). Lupa untuk terlebih dahulu mengadu dan berdoa pada Allah tuhan yang bersifat Ar-Rahman. Semacam Allah itu tidak tersenarai dalam papan utama kehidupan. Ingat... pemberi ujian, padaNya juga ada ubat penyembuhan!.
Hakikatnya ujian yang kita perolehi adalah asalnya berpunca daripada kita sendiri. Dosa dan kesalahan yang kita buat samada disengajakan atau tidak. Sebab itu dianjurkan kita untuk muhasabah atas setiap perkara yang telah kita lakukan. Tanya pada diri;
"Apakah kesalahan yang aku buat pada hari ni?"
"Kenapa aku berbuat dosa demikian?"
"Bagaimana caranya aku hendak perbetulkannya kembali?"
Manusia Yang Menuntut Keadilan
Katanya dunia ini memang tidak adil. Pelbagai ramuan diadun bagi menyedapkan lagi rumusan bahawa dunia ini memang tidak adil. Kononnya;
"Aku telah berbuat sehabis baik, kenapa begini hasilnya?. Tidak adil"
"Aku menyayanginya tetapi kenapa dia tidak pernah menghargaiku?. Ini tidak adil"
"Anakku masih muda, kenapa dia mati ?. Ini tidak adil"
"Dia patut dikenakan hukuman lebih berat atas tindakannya. Mahkamah patut lebih adil"
Sahabat sekalian, percaya yang keadilan (atas penilaian) yang hakiki di dunia ini tidak akan pernah adil mengikut pandangan manusia. Atas sebab itu Islam agama yang adil meletakkan dimensi keadilan dalam 2 kerangka yang berbeza iaitu dunia dan akhirat. .
Bayangkan saat seorang penjenayah dunia, membunuh beribu-beribu umat Islam di syria. Dan andai pada masa yang mendatang, dia dikenakan hukuman mati mandatori di atas kezaliman yang telah dilakukannya, Adakah layak hukuman itu?
Analogi akal mengakui, hanyasanya hukuman itulah yang paling layak untuknya. Mati di balas dengan mati. Namun hakikatnya keadilan tidak pernah wujud kepada mereka yang telah dianiaya kerana matinya dia hanya sekali sedangkan puluhan ribu nyawa umat islam telah dibunuh kejam.
Jika inginkan keadilan, pastilah dia juga perlu mengalami kematian berulang kali bagi menebus kematian puluhan ribu yang mati ditangannya.
Oleh itu mereka yang benar-benar wujud keyakinan dan mengetahui dengan nyata akan hakikat akhirat akan memandang keadilan diletakkan dalam sudut yang berbeza.
Jika kita melihat akhirat itu dengan yakin. Percayalah di sana ada hukuman yang adil. Akhirat diadili oleh Tuhan yang Maha Adil. Dia tidak akan hanya mati sekali tetapi berkali-kali. Hukuman yang adil menambahbaik hukuman islam.
"Dan barangsiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya adalah Neraka Jahanam, kekal ia didalamnya dan Allah murka kepadanya dan melaknatnya serta menyediakan azab yang besar baginya."
(Surah An-Nisa' ayat 93)
(Surah An-Nisa' ayat 93)
Menilai Keadilan Atas Hikmah
"Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui."
(Surah Al-Baqarah ayat 216)
(Surah Al-Baqarah ayat 216)
Ilmu kita yang terbatas, tidak akan dapat menjangkau ilmu Allah yang Maha luas. Kita biasanya tidak nampak yang dekat tetapi selalu saja mengimpikan yang jauh. Padahal yang dekat itu adalah permulaan kepada yang jauh.
Menjemput kedatangan positif
Wujudkan berbagai persoalan positif dalam diri, bina kekuatan atas kelebihan dan kekurangan. Kelebihan ialah ilmu yang diamalkan dan kekurangan ialah percikan dosa yang sentiasa menghambat diri. Perbetulkan bagaimana cara kita melihat sesuatu masalah. Kata orang yang berilmu, mulakan hari kita dengan melihat perkara-perkara yang cantik, memikirkan perkara-perkara yang menarik, bertindak atas tindakan yang membahagiakan.
Jangan jadikan kegagalan dalam hidup sesuatu yang memungkinkan kita untuk menempuh kegagalan yang seterusnya. Bina keyakinan dalam diri, katakan pada diri yang kita boleh melakukannya. Yakin bahawa dunia ini tidak lengkap tanpa kita. ia membuatkan diri kita dihargai atas kemampuan kita menghargai ciptaan Allah yang lain.
Hitung segala kelebihan yang Allah kurniakan kepada kita. Sudah tentu kelebihan akan mengatasi kekurangan. Kelebihan pasti lebih banyak daripada kekurangan. Jangan mencari apa yang tiada sebaliknya menjaga apa yang telah sedia ada. Mana buktinya? Bukankah perkara yang halal itu jauh lebih banyak daripada yang haram.
Bersangka baik perlu dalam menjahit kembali minda negatif yang rosak.
Usah menafsir lebih daripada yang sepatutnya sehingga mengganggu emosi kita. Ingatlah, manusia sentiasa mempunyai kecenderungan untuk bersangka buruk, walaupun pada orang terdekat dan tersayang. Jadi, jagalah minda anda daripada menafsir berlebihan dan memikirkan perkara yang belum pasti keadaannya.
Bersangka baiklah selalu, bukan demi sesiapa, tapi untuk diri agar dapat tersenyum sentiasa. Dengan bersangka baik, pasti juga hati kita akan merasa tenang. Sepertimana di dalam hadis Qudsi, Allah 'Azza wa Jalla berfirman yang bermaksud:-
"Aku mengikuti sangkaan hamba-Ku kepada-Ku. Dan Aku selalu menyertainya sepanjang ia ingat kepada-Ku."
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Jika kita sandarkan segala yang telah berlaku itu adalah dari Allah SWT, nescaya hati kita akan merasa senang dan tenang. Sesungguhnya tidaklah Allah jadikan sesuatu itu sia-sia melainkan kebaikan semata-mata.
Hidup ini satu pilihan
Kali ini otak ligat berfikir khususnya tentang perlakuan yang kita lakukan setiap hari. Soal ini akan terus menjadi satu kemestian setiap kali kita melangkah dalam arena kehidupan. Ia adalah sebuah pilihan dalam meniti kehidupan. Benarlah madah bijak pandai, hidup ini adalah satu pilihan. Ke mana arah yang kita hendak itulah destinasi yang kita akan tuju. Pendek kata, arah tuju dibentuk daripada kata dalam hati, diacu oleh ilmu, dipandu oleh akal yang waras dan dikukuhkan oleh kepercayaan (iman) yang bersih.
Berbekalkan kesemua modal itu, kita bergerak atas dasar pilihan yang telah kita tentukan. Berdasarkan keyakinan dan ilmu yang ada, isu pilihan inilah yang menjadi intipati terhadap permasalahan kita, khususnya dalam melihat wajah-wajah kehidupan - Bagaimana kita bekerja, keadaan mood persekitaran, ataupun cara kita membentuk ruang-ruang diri terhadap ransangan sekeliling.
Pilihlah beberapa pilihan yang kita ada dalam membentuk acuan kita sendiri. Pilihan yang tidak memerlukan kita untuk membuat pilihan lain yang lebih sukar. Namun, jika sukar sekalipun santunilah ia dengan beberapa pilihan lain. Bujukan dan pengorbanan adalah sesuatu yang perlu. Maka dalam membuat pilihan, berkorbanlah namun jangan sampai terkorban!
artikel yg sudah cukup
untk mnjwb kekusutan aku
lam post y lepas...
subhanaAllah..
saat kamu tidak punya siapa-siapa selain Allah, Allah itu lebih dari cukup :)
must be strong no matter what..
Sesungguhnya tidaklah Allah jadikan sesuatu itu sia-sia melainkan kebaikan semata-mata.
fighting..!!
No comments:
Post a Comment